BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
"The best teacher teaches from the heart not from the book"





Friday, September 18, 2009

Bedah Hati 3: Menghayati Makna Tawakkal

Setelah sekian lama tidak mengemaskini blog ini, pagi ini aku terdetik untuk berbuat demikian. Lantaran aku mencari bahan untuk diposkan. Buku Amr Khalid telah ku capai dari rak yang berdekatan dan terbuka halaman mengenai tawakkal. Sambil membaca, aku cuba memahamkan isi-isinya dan kuringkaskan untuk dikongsi dalam blog ini. Setelah hampir siap, jariku tergerak untuk mengedit agar kelihatan lebih menarik. Bila tertekan ikon back, dalam sekelip mata, semuanya hilang. Menekan ikon forward pun tidak dapat mengembalikan bahan-bahan yang telah ku coretkan. Kesilapanku adalah kerana terlupa save dulu. Malah setelah refleksi, kesilapanku yang lebih besar ialah lupa BERTAWAKKAL kepada Allah SWT. Aku tadi seolah-olah yakin benar bahawa usahaku tadi akan berjaya diposkan. Tetapi Allah jua yang Maha Menentukan.

Maka dengan lafaz " Bismillahi tawakkaltu 'alallah. La haula wala quwwata illa billahi 'aliyyil 'adzim." aku mulakan. Kalimah tawakkal diambil daripada al-Wakil iaitu salah satu asmaul-husna bagi Allah. Al-Wakil bermaksud Dzat yang Maha Mengaturkan segala urusan hambaNya ke arah kemaslahatan. Dengan kata lain Dia yang Berkuasa mengatur kehidupan kita ke arah kebenaran dengan memberi petunjuk agar kita dapat melalui kehidupan yang bermanfaat. Cuba kita hayati maksud ayat berikut:

Katakanlah,"Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Pada tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu." (Ali-'Imran: 26)

Ada ulama menjelaskan bahawa tawakkal ialah penyerahan hati secara total seperti mana mayat ditangan orang yang memandikannya. Jika begitu, apakah kita tidak perlu lagi berusaha atau mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah membantu kita?

Islam menuntut kita menjaga keindahan akhlak . Oleh itu kita mesti menjadi orang yang beradab kerana ia sebahagian daripada hukum sebab-akibat yang diperintahkan Allah SWT untuk kita patuhi. Kita berserah diri sesuai dengan kehendakNya. Di mana Allah meletakkan kita atau menentukan apa yang ada pada kita, maka hendaklah kita redha menerimanya. Namun begitu, ulama juga mengatakan, "Barangsiapa yang memakan wang haram maka dia tidak termasuk orang yang bertawakkal kepada Allah". Mengapa? Ini adalah kerana dia tidak yakin bahawa Allahlah yang memberi rezeki kepadanya sehingga dia sanggup memperolehinya melalui jalan yang salah. Jelas ternyata di sini bahawa konsep tawakkal tidak membolehkan kita menyerah sahaja tanpa beusaha dan usaha kita pula mestilah mengikut cara yang halal.

"...... Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah dan hari Akhirat, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."(At-Talaq: 3)

Bedahlah hati kita dan carilah jawapan kepada persoalan: apakah tindak tanduk seharian kita mencerminkan tawakkal kita kepada Allah? Antara tanda tawakkal adalah kita membuat perancangan dengan baik dan tidak cemas atau resah selepasnya sebagai mana kata mutiara Sheikh ibnu Athaillah (pemilik kitab Al-Hikam), "Tenangkan dirimu dari segala kesusahan setelah segala usaha dilakukan."

Banyak orang menyangka bahawa tawakkal yang paling besar adalah tawakkal kepada Allah dalam pencarian rezeki, keluarga atau urusan duniawi yang lain. Sebenarnya tawakkal yang paling besar adalah tawakkal seorang da'i dalam berdakwah di jalan Allah SWT. Perhatikan tauladan dakwah para anbia' yang dipaparkan dalam al-Quran seperti Ibrahim a.s, Nuh a.s, Hud a.s dan Muhammad S.A.W!

Justeru, bagaimana hendak menjadikan hati kita sentiasa bertawakkal kepada Allah? Jawapannya:
"Ihfadzillaha yahfadzka ( jagalah Allah maka Allah akan menjagamu)" yang bermaksud kita jaga Islam dengan menghayati dan menegakkannya dalam kehidupan, insyaAllah kita akan dijaga oleh Allah SWT.

Marilah sama-sama kita belajar bertawakkal dengan cara yang benar. Janganlah sampai ada pihak yang memandang rendah kepada kita dengan berkata: orang-orang Islam biasanya malas berusaha dan tidak mahu mengikuti hukum alam ini lalu menyerah sahaja kepada Allah. Wallahu'alam.

Rujukan: Amr Khalid. (2007). Menggapai surga dengan hati (Terjemahan). Solo: Era Intermedia.

0 comments: