Tuesday, February 2, 2010
The Upper Hand (1): The little boy who gave
Posted by umiazma at 8:23 PM 1 comments
Friday, September 18, 2009
Bedah Hati 3: Menghayati Makna Tawakkal
Maka dengan lafaz " Bismillahi tawakkaltu 'alallah. La haula wala quwwata illa billahi 'aliyyil 'adzim." aku mulakan.
Kalimah tawakkal diambil daripada al-Wakil iaitu salah satu asmaul-husna bagi Allah. Al-Wakil bermaksud Dzat yang Maha Mengaturkan segala urusan hambaNya ke arah kemaslahatan. Dengan kata lain Dia yang Berkuasa mengatur kehidupan kita ke arah kebenaran dengan memberi petunjuk agar kita dapat melalui kehidupan yang bermanfaat. Cuba kita hayati maksud ayat berikut:"Ihfadzillaha yahfadzka ( jagalah Allah maka Allah akan menjagamu)" yang bermaksud kita jaga Islam dengan menghayati dan menegakkannya dalam kehidupan, insyaAllah kita akan dijaga oleh Allah SWT.
Posted by umiazma at 11:45 AM 0 comments
Labels: bedah hati3
Sunday, May 17, 2009
Bedah Hati 2
Cara tutur kata yang indah dan dan penampilan seorang da'i yang baik akan menarik perhatian orang yang mendengar dan melihatnya. Ucapan salam yang terkeluar dari lubuk hati dengan disertai senyuman manis yang penuh dengan perasaan kasih sayang adalah senjata terpendam yang bakal menawan mad'u. Apa tidaknya, jika tutur kata yang kasar dengan pandangan benci boleh meninggalkan kesan negatif pada hati orang, sudah tentu tutur kata halus dengan wajah yang berseri juga mampu meninggalkan kesan yang positif ke dalam hati yang mad'u.
Perhatikan ciri-ciri yang ada pada para utusan Rasulullah (SAW) seperti Mus'ab bin Umair, Dahyah al-Kalbi dan Ja'afar bin Abu Talib. Mereka memiliki penampilan yang menarik di samping tutur kata yang sopan. Penampilan dan akhlak yang baik ini membuat orang yang memandang menjadi tertarik dan simpati.
Dari Abu Dzar, Rasulullah (saw) penah bersabda:
"Jangan sekali kali kamu meremehkan kebaikan, meskipun hanya berupa keceriaan wajah tatkala bertemu dengan saudaramu." (HR Muslim)
Justeru, harus kita ingat bahawa gambaran indah ini tidak akan terpapar jika jiwa kita tidak ikhlas atau dicemari dengan pemikiran yang kotor kerana apa yang tersembunyi dalam hati seseorang akan tersingkap pada wajahnya. Bayangkan seseorang yang berjabat tangan dengan anda dengan dingin sambil matanya memandang ke arah lain!
Perhatikan kata-kata ini:
Dakwah kepada Allah itu seni yang amat tinggi, diilhami oleh aqidah dan diperbaharui oleh indera yang peka, bersih dan terdidik, diperjelas dengan keterampilan dan dibalut dengan jiwa yang ramah dan berseri.
(Rujukan: Abbas As-Sissiy. Bagaimana Menyentuh Hati)
Posted by umiazma at 4:53 PM 0 comments
Sunday, March 1, 2009
Siri Bedah Hati 1: Tiga Darjat Manusia
Ibn Taimiyyah dalam kitabnya At-Tuhfah al-'Iraqiyyah fi al-'Amal al-Qalbiyyah wa Yaliha Amradh al-Qulub wa Syifa'uha (Gerak-Geri Qalbu: Dilengkapi Analisis Tentang Penyakit-Penyakit Hati dan Pengobatannya) mengkategori darjat manusia kepada tiga:
Orang yang menganiayai diri sendiri
Mereka ini adalah orang yang berbuat maksiat dengan meninggalkan apa yang diperintahkan Allah dan mengerjakan apa yang dilarangNya.
Orang yang pertengahan
Mereka ini melaksanakan perkara-perkara yang diwajibkan dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang/haram.
Orang yang bersegera dalam kebaikan
Mereka adalah orang-orang yang melaksanakan perkara wajib dan sunnah serta meninggalkan perkara haram dan makruh.
Di manakah kedudukan kita? Bolehkah kita mencapai darjat orang yang bersegera dalam kebaikan? Jawapannya ya. Taubat adalah jalannya. Pertama kita perlu tahu dan sedar akan perbuatan kita yang salah dan bertaubat kepada Allah untuk tidak mengulanginya. Selagi seseorang itu tidak menyedari perbuatan salahnya (kerana menganggap ianya baik), maka selama itulah dia tidak akan bertaubat. Oleh itu kita hendaklah sentiasa memohon hidayah Allah SWT agar ditunjukkan kita jalan yang benar.
"Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Allah menambah petunjuk epada mereka dan memberikan kepada mereka (balasan) ketakwaannya." (Surah Muhammad:17)
Orang yang berpaling daripada kebenaran yang diketahuinya kerana mengikut hawa nafsunya adalah orang yang ditimpa penyakit yang boleh mengakibatkan hatinya menjadi buta. Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah: 15-16 yang bermaksud:
"Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik."
Na'uzubillahi min dzalik. Semoga kita sentiasa menjaga hati kita daripada ditutupi debu-debu hitam dosa.
Posted by umiazma at 1:32 PM 0 comments
Sunday, February 8, 2009
Mencari Kunci Hati
Syaitan membuat program untuk para pengikutnya. Maka daie juga semestinya ada program untuk mad'unya yang sememangnya berbeza dan murni berbanding dengan program syaitan.
"Janganlah kalian berhati lemah dalam mengejar mereka (musuh kalian). Jika kalian menderita kesakitan (kekalahan), maka mereka sesungguhnya juga menderita kesakitan, sebagaimana kalian menderitanya. Sedangkan kalian mengharap daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (An-Nisa': 104).
Daie janganlah bersedih atau berputus asa jika hasil yang diharapkan tidak tercapai. Buat refleksi dan perbaiki program. Tugas daie seperti seorang doktor yang akan memberi ubat sesuai dengan penyakit yang dihidapi pesakitnya. Tidak masuk akal jika pesakit diberi ubat yang sama kerana penyakit mereka tentu berbeza-beza.
Tugas daie juga seperti seorang guru yang menghayati hati dan pemikiran pelajarnya, lalu dibimbing mereka sedikit demi sedikit, hingga tujuan yang hendak dicapai terlaksana.
Seorang daie yang ikhlas dan penuh kasih sayang tidak akan merasa sulit untuk memasukkan apa yang ada dalam hatinya ke dalam hati orang lain kerana tatapan mata yang penuhi rasa iman dan kasih sayang akan menimbulkan cinta dan keimanan.
"Katakan, 'terangkan kepadaku jika Allah mencabut pendengaran dan penglihatan serta menutup hatimu, siapa Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepadamu? Perhatikanlah bagaimana berkali-kali Kami perlihatkan tanda-tanda kebesaran (Kami), kemudian mereka tetap berpaling (juga)." (Al-An'am:46)
Manusia yang sedemikian tidak memahami makna hidup dan tanggungjawab yang dibebankan. Mereka ibarat orang yang sedang tidur lena dan memerlukan orang lain membangunkannya. Siapa lagi jika bukan daie? Oleh itu daie hendaklah menjadikan penglihatan, pendengaran dan hatinya berfungsi untuk membolehkannya membuka pintu hati yang tertutup itu, biiznillah.
" Maka disebabkan rahmat Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu berlaku keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu." (Ali Imran:159)
"Tiada suatu musibah pun yang menimpa sesorang kecuali dengan izin Allah. Barangsiapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya." (At-Taghabun:11)
Perasaan dan kasih sayang adalah "bahasa" antarabangsa. Dengan bahasa inilah generasi pertama umat ini menakluki dunia dan menjadi lentera kehidupan.
Posted by umiazma at 1:24 PM 0 comments
Saturday, January 31, 2009
Jagalah Hati!
Sesungguhnya di dalam badan itu terdapat seketul daging, jika ianya baik maka baiklah tubuh itu dan jika ianya busuk, maka berpenyakitlah tubuh itu. Ketahuilah itu adalah hati. (Maksud hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Posted by umiazma at 12:47 PM 0 comments
Labels: refleksi


