BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
"The best teacher teaches from the heart not from the book"





Thursday, March 18, 2010

Mencari Khusyu' Semasa Solat (1)

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’.”
(Al-Baqarah:45)

Rasulullah (SAW) pula pernah bersabda;
“Pusat kebahagiaanku terletak dalam solat.” (HR Muslim)

Berapakah solat kita yang lebih teruk daripada orang-orang yang sedang mabuk? Kita tidak mengerti dengan sedar apa yang kita ucapkan ketika solat. Berapakah solat kita yang lalai? Kita terlupa bilangan rakaat dan tertinggal bacaan tertentu. Apakah kita merasakan solat itu berat, susah dan menjadi beban bagi kita? Apakah kita merasakan penat sesudah solat kerana semasa solat tadi kita telah menjelajahi dunia atau kita sedang menyelesaikan masalah penting atau mungkin juga fikiran kita sedang merancang sesuatu untuk dilaksanakan dan macam-macam lagi. Dengan kata lain, konsentrasi kita kepada solat hilang. Kita seolah-olah tidak sedar bahawa kita sedang berdiri di hadapan Allah SWT.

Abdullah ibn Mas’ud r.a. berkata’ “Tatkala turun ayat (yang bermaksud);
‘Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah?” (Al-Hadid:16)

Ketika itu baru empat tahun kami masuk Islam. Namun Allah telah menegur kami dalam hal kekhusyukan solat. Kami pun kemudian keluar untuk saling menegur dengan mengatakan, “Sudahkah kalian mendengar Allah telah berfirman,’Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah?’. Salah seorang lelaki sempat terjatuh akibat menangis atas teguran Allah terhadap diri kami ini.“

Apakah kita juga dapat merasakan, meskipun sekali, bahawa Allah SWT telah menegur kita dengan ayat di atas? Belum datang jugakah waktunya bagi kita untuk meraih kekhusyukan dalam solat? apakah masih belum terkesan di hati kita dengan teguran Allah itu?

Di mana hati kita?

Imam Abu Hamid Al-Ghazali (rahimallahu ‘alaih) berkata, “Carilah hatimu di tiga tempat: pertama, ketika membaca al-Quran; kedua, ketika solat dan ketiga, ketika mengingat kematian. Jika di tiga tempat tersebut engkau belum menemukan hatimu,maka mohonlah kepada Allah untuk memberimu hati, sebab engkau tidak sedang memilikinya!”

Di manakah kita berada?

Dalam pengantar buku Madarijus Salikin, Ibnul Qayyim rahimallahu’alaih mengatakan bahawa terdapat lima tingkatan manusia ketika solat.

Tingkat pertama: Orang-orang yang tidak menjaga waktu solat. Tidak menjaga wudhu, tidak tahu rukun-rukun solat yang zahir serta kekhusyukan. Orang seperti ini akan mendapat hukuman atas solatnya sebagaimana disepakati oleh semua ulama.

Tingkat kedua: Orang yang menjaga waktu solat, menjaga wudhu dan juga rukun-rukun solat namun ia melalikan kekhusyukan. Orang seperti ini akan dihisab solatnya dengan keras. (Bukankah kita juga mungkin berada dalam tingkat ini?)

Tingkat ketiga: Orang-orang yang menjaga waktu solat, menjaga wudhu dan juga rukun-rukun solat yang zahir.Ia nampak berjuang gigih melawan syaitan. Di awal-awal dia khusyu’ kemudian syaitan berjaya mencuri perhatiannya. Dia kembali melawan dan kemudian seterusnya silih berganti.Orang seperti ini akan tertutup kekurangannya.

Tingkat keempat: Orang-orang yang menjaga waktu solat, menjaga wudhu, menjaga rukun-rukun solat dan melaksanakan solat dengan khusyu’. Dia menang melawan syaitan. Orang ini akan mendapat pahala penuh.

Tingkat kelima: Orang yang menjaga penuh waktu solat, wudhu, rukun-rukun dan kekhusyukan. Orang ini juga menanggalkan hati dan menyerahkan sepenuh jiwa kepada Allah SWT. Orang ini tidak lagi berada di dunia. Ia ada bersama Allah. Dia tidak lagi terkait dengan ikatan-ikatan dunia. Orang seperti ini adalah orang istimewa yang dekat dengan Rabbnya.

Di tingkat manakah aku berada?
Ya Allah. Sesungguhnya akulah yang butuhkan peringatan ini. Engkau kembalikanlah aku kepada fitrahku yang sebenar dan Engkau teguhkankanlah hatiku ini di atas jalanMu yang lurus. Amin.


Perkongsian ini dipetik dan diolah daripada buku Ibadah Sepenuh Hati (judul asli: ‘Ibadatul Mukmin) oleh Amru Khalid. Aqwam, Solo.

0 comments: